Wednesday 3 August 2011

Peluang merasa hukuman di penjara, bukan dera


PARA pelajar bersalaman dengan Roslan (kiri) sambil diperhatikan oleh Aminudin (tiga dari kanan) di SMKBBU, Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Semua 33 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda (SMKBBU) yang sebelum ini mendakwa mereka didera secara fizikal sebenarnya bukan dihukum, sebaliknya hanya diberi peluang merasai bentuk hukuman di penjara.
Pengarah Penjara Kluang, Senior Asisten Komisioner Roslan Mohamed menjelaskan, melalui pengalaman terbabit, ia dapat melahirkan kesedaran kepada pelajar supaya mengelak daripada melakukan kegiatan jenayah dan akhirnya ditahan menjadi banduan.
"Sebenarnya hanya enam daripada 33 pelajar SMKBBU yang diberi merasai hukuman tersebut tetapi kami bukan dera atau melakukannya secara terus menerus," katanya selepas sesi perjumpaan bersama ibu bapa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda (SMKBBU) yang sebelum ini didakwa didera secara fizikal ketika mengikuti kursus motivasi di Penjara Kluang, minggu lalu.
Perjumpaan tersebut turut dihadiri Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pelajaran, Aminudin Adam dan Pengetua SMKBBU, Siti Raudah Moh.
Kosmo! Selasa lalu melaporkan, seramai 33 pelajar terbabit mendakwa dilayan seperti banduan semasa menjalani program motivasi tersebut di Penjara Kluang.
Ketika program selama tiga hari dua malam bermula Jumaat lalu itu, mereka mendakwa diarah oleh warden penjara memakai pakaian banduan selain digari, ditampar, dipukul dan ditumbuk di perut hingga ada pelajar menangis.
Sementara itu, Pengarah Pelajaran negeri, Mohd. Nor A. Ghani (gambar kecil) berkata, kursus motivasi di Penjara Kluang akan tetap diteruskan meskipun terdapat dakwaan di kalangan pelajar yang mengikuti kursus terbabit bahawa mereka dilayan bagai banduan.
Menurutnya, keputusan itu dibuat berdasarkan maklum balas positif yang diterima daripada lima buah sekolah lain di negeri ini yang menghantar pelajar mereka mengikuti kursus terbabit.
Bagaimanapun katanya, beberapa penambahbaikan akan dilakukan terhadap modul program berkenaan yang bertujuan untuk melahirkan pelajar cemerlang, berdisiplin dan mengamalkan nilai-nilai murni.
"Berdasarkan maklum balas pihak sekolah terlibat, kursus itu mendapat sokongan ibu bapa selain terbukti pelajar berubah ke arah yang lebih baik," katanya.

kredit to : kosmo, 4 ogos 2011 / Negara -

No comments:

Post a Comment